Wabak mpox: Lindungi golongan rentan, individu imuniti rendah - Pakar kesihatan

Hasimi Muhamad
Ogos 22, 2024 22:24 MYT
Tiga pakar kesihatan membincangkan jangkitan mpox susulan WHO mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam, baru-baru ini - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Golongan rentan dan individu yang mempunyai imuniti rendah perlu diberikan perlindungan bagi mengelakkan mereka dijangkiti cacar monyet atau mpox.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, School of Medicine, IMU University, Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, individu tersebut termasuk mereka yang disahkan positif HIV, dengan dianggarkan sekitar 86,000 orang direkodkan di Malaysia.
Selain itu, beliau berkata kumpulan yang memiliki imuniti rendah adalah pesakit kanser, wanita hamil, warga tua serta kanak-kanak.
"Mereka ini bukan golongan yang berisiko yang mengamalkan amalan tidak sihat seperti hubungan seksual tetapi mereka ini adalah mempunyai imuniti yang agak rendah.
"(Kumpulan) ini yang harus kita pertahankan dan memberikan perlindungan supaya mereka tidak mendapat jangkitan ini (mpox). Kita tahu ada pelbagai kaedah untuk mengelakkan daripada jangkitan termasuk mengurangkan kontak.
"Selain itu, memastikan apabila ada kemasukan mereka yang melawat dari negara-negara yang berisiko tinggi, mereka (pelawat) harus dilakukan saringan dan diberikan rawatan serta pemantauan sekiranya mereka terdedah kepada penyakit ini," katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru 'Ancaman Mpox: Sama-Sama Jaga' yang disiarkan di Astro AWANI pada Khamis malam.
Mengulas lanjut, Dr. Syed Mohamed Aljunid berkata kewujudan strain baharu, Clade 1b meningkatkan risiko untuk wabak tersebut merebak dan menjangkiti golongan rentan, jika tiada langkah pencegahan.
'Mpox boleh dikawal'
Sementara itu, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Colombia Asia Hospital, Cheras, Dr. S. Malar Santhi berpandangan penularan jangkitan mpox masih boleh dikawal kerana setakat ini ia tidak merebak secepat pandemik COVID-19.
Katanya, program-program kesedaran kesihatan awam boleh digerakkan dalam usaha memastikan masyarakat mendapat maklumat yang jelas mengenai langkah pencegahan mpox.
"Saya percaya di negara seperti Malaysia, Indonesia, dan Asia Tenggara, kemungkinan besar kita boleh kawal penularan ini dengan baik melalui program-program kesihatan awam (yang digerakkan) dengan jayanya.
"Sebab penularan (mpox) bukan melalui percakapan atau bersalam, terus menular. (Tetapi) sentuhan pada permukaan kulit yang telah lepuh, pelukan yang lama, pemindahan bendalir badan dan ada juga data mengatakan melalui hubungan seksual.
"Jadi saya harap di Malaysia, Indonesia, dan negara-negara jiran (untuk) buat program kesedaran dengan cepat dan minta rakyat cegah supaya (mpox) tak menular," ujar beliau.
Dalam pada itu, Pakar Epidemiologi dan Keselamatan Global, Griffith University, Australia, Dr. Dicky Budiman berkata, tindakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam dilihat sebagai langkah untuk mencegah situasi menjadi semakin buruk.
"Ini adalah respon awal pengesanan, kewaspadaan, dan pencegahan. Tetapi apa yang diinginkan juga adalah kolaborasi kerana yang terkesan saat ini adalah negara-negara miskin terutama di Afrika.
"Sudah tentu kalau kita bercakap mengenai vaksinasi, mereka perlu (melibatkan) kolaborasi global agar strategi vaksinasi itu boleh dilakukan, jika adanya vaksin.
"Ini pembelajaran daripada situasi pandemik di mana dunia perlu segera melakukan kerjasama global," katanya.
Negara-negara Afrika melaporkan lebih daripada 1,400 kes mpox sepanjang minggu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes melibatkan 12 negara Afrika.
Hampir 19,000 kes mpox direkodkan sejak awal tahun 2024.
#COVID-19 #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #vaksin #cacar monyet