Wabak ILI: 24 kes terbaharu dilaporkan, jumlah terkini 438 kes

Harits Asyraf Hasnan
Mac 12, 2017 16:51 MYT
Purata setiap satu jam, satu kes baharu penyakit seperti influenza (ILI) dilaporkan di Perak sepanjang Sabtu - Foto BERNAMA
Sejumlah 24 kes baharu penyakit seperti influenza (ILI) dilaporkan di Perak sepanjang 24 jam bermula 12.00 pagi sehingga jam 11.59 malam, Sabtu.
Penambahan 24 kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes ILI sejak Jumaat lalu sebanyak 438 kes.
Jabatan Kesihatan Negeri Perak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan 23 kes baharu dilaporkan di Sekolah Raja Perempuan Taayah dan 1 kes di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR).
Sampel ujian pesakit turut menunjukkan empat sampel positif Influenza A (H3) dan enam sampel positif Influenza B.
Sebanyak lima kes baru yang telah diasingkan ke dalam bilik isolasi di sekolah masing-masing merangkumi empat kes di Sekolah Raja Perempuan Taayah dan satu kes di STAR, dengan jumlah kumulatif diasingkan di kesemua kluster adalah sebanyak 306 kes.
Kenyataan tersebut memaklumkan, seorang pesakit yang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh telah dibenarkan pulang semalam.
Bagaimanapun, tiga kes masih lagi mendapatkan rawatan di hospital pada ketika ini.
#ILI #Influenza #Perak #Sekolah Raja Perempuan Taayah #Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) #wabak
;