Wabak campak meningkat tiga kali ganda setakat september - KP Kesihatan
Bernama
November 5, 2015 07:50 MYT
November 5, 2015 07:50 MYT
Wabak Measles atau campak meningkat tiga kali ganda di seluruh negara sehingga September lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham berkata bilangan kes disahkan campak meningkat kepada 602 kes (26.3 per sejuta penduduk) berbanding 235 kes (7.8 per sejuta penduduk) pada 2014 dan 195 kes (6.6 per sejuta penduduk) pada 2013.
"Malah, berlaku dua kematian kanak-kanak akibat jangkitan campak pada tahun ini, berbanding satu kematian pada tahun lepas. Kebanyakan kes adalah dalam kalangan bayi dan kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya malam Khamis.
Katanya bilangan wabak juga meningkat lebih tiga kali ganda, iaitu 37 episod wabak berbanding hanya 11 pada tahun 2014.
Wabak ini, katanya, turut melibatkan beberapa institusi jagaan, sekolah dan pusat tahanan.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata punca utama peningkatan kes adalah kanak-kanak tidak mendapat imunisasi.
Katanya sebanyak 50 peratus hingga 65 peratus daripada kes pada tahun 2014 dan 2015 tidak mendapat imunisasi campak.
"Antara sebabnya ialah ibu bapa terlupa atau terlalu sibuk untuk membawa anak mendapatkan imunisasi, salah tanggapan terhadap keterukan penyakit campak, menolak vaksin, mengamalkan perubatan homeopati dan/atau naturopati," katanya.
Katanya kanak-kanak ini juga tinggal di kawasan yang mempunyai liputan imunisasi campak kurang daripada 95 peratus.
Imuniti kelompok yang rendah akibat daripada jumlah kanak-kanak tidak dilindungi oleh imunisasi campak yang tinggi menyebabkan virus Measles mudah menular di dalam komuniti tersebut dan mengakibatkan wabak.
"Situasi menjadi lebih buruk apabila penjaga kurang faham kaedah mencegah dan mengawal penularan penyakit ini," katanya.
Dr Noor Hisham menarik perhatian bahawa campak adalah sejenis penyakit yang amat mudah merebak dan kanak-kanak yang dijangkitinya perlu diasingkan dan tidak dihantar ke pusat asuhan, taska, tadika atau sekolah.
"Elakkan membawa kanak-kanak ini menghadiri perjumpaan atau perhimpunan terutama yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi seperti bayi, pesakit yang mempunyai imuniti yang rendah seperti pesakit kanser, orang dengan HIV/AIDS dan mereka yang menerima rawatan kemoterapi," katanya.
Tambahnya, Pejabat Kesihatan Daerah menjalankan kempen dan suntikan campak ke atas kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah di lokaliti wabak.
Ibu bapa dinasihatkan bekerjasama dengan memastikan anak-anak mereka mendapat imunisasi, sama ada pada tarikh hari lahir pertama anak atau semasa kempen imunisasi campak dijalankan dalam komuniti.
"Tindakan bijak kita akan menurunkan risiko jangkitan campak dan mengurangkan keterukan penyakit serta mencegah kematian," katanya.