VTL Thailand dan Kemboja: Malaysia sudah bersedia, setanding negara maju - MATA
Madiha Abdullah
Mac 14, 2022 15:10 MYT
Mac 14, 2022 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) baharu ke Thailand dan Kemboja yang akan bermula esok akan menjadi penanda aras yang baik terhadap kesediaan Malaysia sebelum pembukaan penuh sempadan negara pada 1 April ini.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, semua agensi dalam sektor pelancongan pastinya sudah bersiap sedia untuk menyambut kehadiran para pelancong yang sekali gus merancakkan kembali industri itu selepas suram selama dua tahun.
"Boleh dikatakan kita sudah setanding negara-negara maju yang sudah pun membuka kembali sempadan.
"Di pihak kerajaan, kita boleh nampak persiapan yang baik terutama dalam prosedur operasi standard (SOP) yang terkini seperti keperluan ujian RTK atau PCR, vaksin dan dos penggalak.
"VTL ini satu perkembangan baik kerana walaupun ada antara negara-negara jiran belum bersedia, tetapi kalau kita sudah bersedia, kita perlu tonjolkan persiapan kita di tahap terbaik.
"Saya nasihatkan pihak kita aturkan supaya pelancong membeli insurans tempatan agar memudahkan mereka andainya dimasukkan ke hospital sepanjang berada di negara ini," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Isnin.
Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan laluan baharu VTL ke Thailand dan Kemboja, selepas Singapura.
Bagi Thailand, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga enam penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok dan sehingga empat penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phuket.
Bagi Kemboja pula, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga dua penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phnom Penh.
"Saya percaya pihak Thailand dan Kemboja juga sudah bersedia dengan kerjasama ini untuk menerima kehadiran pelancong dari negara kita.
"Dengan adanya jaringan ini, syarikat penerbangan akan aktif semula, sektor penerbangan akan kembali aktif dan ini akan memberi impak kepada ekonomi. Tenaga pekerja juga mungkin akan bertambah, mereka yang diberhentikan atau direhatkan mungkin akan dipanggil balik.
"Saya yakin sepanjang dua tahun ini, sektor pelancongan kita bukan duduk diam sahaja, sebaliknya mereka juga sentiasa memikirkan cara baharu untuk menambah baik perkhidmatan dan kita akan dapat saksikannya nanti," tambahnya.