VTL Pulau Pinang-Singapura lancar, prosedur mudahkan pengembara

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 16, 2022 21:40 MYT
Menurut Peggy Lee yang bekerja sebagai jururawat di Hospital di Singapura, dia gembira dapat pulang ke kampung halaman menerusi inisiatif VTL kerana ia menjadikan perjalanan saya bertambah mudah. - Astro AWANI
GEORGE TOWN: Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) penerbangan pertama di antara Pulau Pinang dan Singapura yang bermula hari ini berjalan lancar.
Penerbangan pertama dari Singapura ke Pulau Pinang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, pada jam 6.40 petang Rabu.
Kesemua 60 penumpang Pesawat Air Asia AK1730 dibawa melakukan ujian RT-PCR (PCR) sebelum mereka dilepas.
Tinjauan di LTAPP mendapati, penumpang menyifatkan pelaksanaan VTL kali ini memberi kemudahan kepada mereka.
Menurut Peggy Lee yang bekerja sebagai jururawat di Hospital di Singapura, dia gembira dapat pulang ke kampung halaman menerusi inisiatif VTL kerana ia menjadikan perjalanan saya bertambah mudah.
"Saya bekerja di sana (Singapura)… disebabkan COVID-19, sukar untuk saya pulang ke sini. Jadi, kali ini saya dapat pulang dan saya sangat gembira dapat berjumpa dengan ibu bapa," katanya.
Sementara kakaknya, Engie Lee, 30, pula berkata, dia memilih VTL Pulau Pinang-Singapura meskipun mengetahui mengenai pelaksanaan VTL pertama di laluan Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini, namun ketika itu terlalu banyak prosedur perlu dilalui.
“Sangat teruja, dah lama tunggu. Sebelum ni di KL ada VTL, tapi perlu transit dan sebagainya. Sekarang lebih mudah, boleh datang terus ke Pulau Pinang," jelasnya.
Sempena pembukaan VTL hari ini, dua penerbangan membabitkan Singapura ke Pulau Pinang dan Pulau Pinang ke Singapura dengan menggunakan pesawat Air Asia dan Singapore Airlines.
Sebelum ini, Kerajaan Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan bersama memperluaskan VTL melalui udara bagi laluan dari Pulau Pinang ke negara itu mulai 16 Mac.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, inisiatif VTL itu akan membolehkan pengembara yang lengkap divaksinasi berkunjung ke Pulau Pinang dan Singapura menggunakan syarikat penerbangan yang mengambil bahagian dalam program ini, malah mereka tidak dikenakan kuarantin ketika ketibaan.
Tambahnya, pelaksanaan VTL antara Pulau Pinang dan Singapura itu bermula dengan empat penerbangan sehari membabitkan syarikat penerbangan yang mengambil bahagian di kedua-dua negara.
#VTL Pulau Pinang Singapura #Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin #VTL udara #LTAPP #Peggy Lee #Engie Lee
;