VTL Malaysia-Singapura diteruskan - Khairy

Bernama
Disember 3, 2021 16:31 MYT
Semua pengembara yang tiba di Malaysia menerusi VTL udara dan darat dikehendaki membuat ujian kendiri COVID-19 pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat antara Singapura dan Malaysia diteruskan meskipun negara sudah merekodkan kes pertama positif COVID-19 varian Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata semua pengembara yang tiba di Malaysia menerusi VTL udara dan darat dikehendaki membuat ujian kendiri COVID-19 pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan.
Khairy berkata beliau telah berhubung dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Ong Ye Kung, berikutan pengesanan kes varian Omicron itu.
"Kami mengesahkan bahawa VTL akan diteruskan dan kami akan terus mengemas kini antara satu sama lain setiap hari dan menyelaraskan respons kami dengan sewajarnya," katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19, di sini hari ini.
Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia
Malaysia dan Singapura melancarkan VTL udara dan darat bermula Isnin lepas, yang membolehkan pengembara yang sudah lengkap divaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin apabila di tiba di Malaysia dan Singapura.
Malaysia merekodkan kes pertama varian Omicron membabitkan seorang pelajar dari Afrika Selatan yang menuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh, yang disahkan positif bagi varian dibimbangi (VOC) itu pada 2 Disember hasil jujukan genom yang dijalankan.
Sementara itu, Khairy berkata sekatan perjalanan sementara pengembara dari lapan negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi diteruskan.
Bagi pelancong antarabangsa yang menyertai Gelembung Pelancongan Langkawi, pengembara yang tiba dari semua negara perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 tambahan iaitu pada hari ketiga dan kelima dari tarikh ketibaan, menggunakan ujian jenis RTK-Ag secara profesional.
Sebagai langkah pencegahan tambahan, katanya pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), akan dipakaikan peranti pengesan digital sepanjang tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (kuarantin).
Beliau berkata senarai negara berisiko tinggi akan dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melalui penilaian risiko.
Khairy berkata rakyat tidak perlu panik dengan kemunculan varian Omicron dalam negara kerana langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang dikuatkuasakan ketika ini dililhat berkesan mencegah penularan wabak itu.
"Langkah-langkah pencegahan, prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang sedia ada adalah sangat-sangat ketat.
"Kalau kita lihat negara-negara lain yang mula perketatkan langkah-langkah mereka disebabkan Omicron, sebenarnya mereka melaksanakan apa yang Malaysia melaksanakan.
"Kita antara yang saya rasa negara paling cermat dari segi pencegahan. Kita masih lagi ada kuarantin, pakai pelitup muka, sistem contact tracing yang saya rasa agak teliti," katanya sambil menambah rakyat digalak supaya terus mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek), dan mendapatkan vaksin COVID-19.
Khairy berkata kempen pemberian dos penggalak akan diperhebatkan dan KKM menyasarkan sekurang-kurangnya 75 peratus populasi yang telah lengkap dengan dua dos vaksinasi, menerima dos penggalak.
-- BERNAMA
#varian omicron #Malaysia #VTL #Singapura
;