VTL: Lebih banyak laluan, destinasi akan dibuka antara Malaysia-Singapura - PM

Raja Hisyam Raja Zaid
November 29, 2021 16:52 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang media bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Isnin. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR : Pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura melalui Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) akan memberi impak positif terhadap sosioekonomi kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melakukan lawatan kerja ke Singapura hari ini berkata, ia juga sekali gus membuka ruang kepada mereka yang terpisah disebabkan penutupan sempadan disebabkan pandemik COVID-19 untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.
“Kita berharap dengan terlaksananya (pembukaan sempadan dan pelancaran VTL) akan membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai (individu) dari kedua-dua negara yang telah lama terpisah daripada keluarga akibat pandemik COVID-19 untuk kembali ke pangkuan keluarga tersayang.
“Sebagaimana yang kita ketahui inilah yang dinanti-nantikan sejak sekian lama oleh rakyat Malaysia dan Singapura," katanya ketika mengadakan sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Bilateral | PM tiba di Singapura
Pada masa yang sama, katanya kedua-dua negara sedia membuka lebih banyak laluan dan destinasi melalui VTL udara antara Malaysia-Singapura, yang sebelum ini tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Menurut Ismail Sabri, perkara itu antara yang turut dipersetujui dalam perbincangannya dengan Hsien Loong.
“PM Lee dan saya juga membincangkan rentas sempadan pergerakan melalui udara antara Singapura dan destinasi seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu dalam Malaysia. Kami berdua memutuskan bahawa pegawai kami harus bermula untuk merangka langkah-langkah untuk tujuan ini,” jelasnya lagi.
Sementara itu Hsien Loong juga meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap pembukaan semula sempadan kedua-dua negara dan memuji tahap vaksinasi yang telah dicapai oleh Malaysia dan Singapura yang menjadi rentetan terhadap keputusan terbaharu yang diambil.
“Situasi COVID-19 di kedua-dua negara kini semakin stabil. Kedua-duanya telah mencapai kemajuan yang baik dalam memberi vaksin kepada rakyat dan tepat pada masanya untuk kita membuka semula sempadan kita secara progresif dan selamat.
“Saya sangat berbesar hati kerana kita telah melancarkan VTL bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri pagi ini menghubungkan Singapura dan Johor," katanya dalam sidang media tersebut.
#VTL #Malaysia #Singapura #ismail sabri yaakob
;