VTL: Laluan udara, darat Malaysia-Singapura dibuka 29 November
Astro Awani
November 24, 2021 16:46 MYT
November 24, 2021 16:46 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura bekerjasama untuk melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin - Laluan Darat (VTL-Land) pada 29 November ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelancaran VTL-Land adalah selari dengan laluan udara (VTL-Air) yang bertujuan meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.
"Selain pekerja, VTL-Land akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua belah Tambak yang telah terpisah dengan keluarga akibat pandemik COVID-19 untuk bertemu semula dengan orang tersayang.
[TERKINI] Malaysia dan Singapura lancar VTL laluan darat 29 Nov
PMO turut memaklumkan, pengembara yang dibenarkan mengambil bahagian dalam VTL-Land adalah warganegara Malaysia dan Singapura termasuk Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura.
Antara syarat ditetapkan termasuk pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.
VTL Udara | Kementerian Pengangkutan umum syarat
"Pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian COVID-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.
"Pada masa ini, VTL-Land akan dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja sebagai mekanisme kawalan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.
"Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street (QST) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Singapura," menurut kenyataan tersebut.
Malah, PMO memaklumkan kerajaan kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk menetapkan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan, dengan akan melaksanakan peningkatan dari minggu ke minggu.
Pengembara yang masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land perlu mendaftar di https://mysafetravel.gov.my/ manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal.
Johor Singapura | 1440 orang dijangka guna VTL Darat
Pendaftaran ini adalah wajib sebelum sebarang pembelian tiket dibuat.
Butiran tentang keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg/.