VTL darat: Hadiah buat pasangan, keluarga berjauhan
Bernama
November 23, 2021 13:53 MYT
November 23, 2021 13:53 MYT
JOHOR BAHRU: Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Link Kedua yang dijangka dilaksanakan Isnin depan (29 Nov), dianggap 'hadiah' buat pasangan suami isteri yang terpaksa berjauhan susulan penutupan sempadan Johor-Singapura akibat COVID-19.
Bagi Siti Nur Hidayah Amiludin, 30, kepulangan suami yang terpisah selama setahun sentiasa menjadi antara 'doa' dalam solatnya kerana sepanjang perpisahan itu hanya panggilan video menjadi perantara dan pengubat rindu.
Ibu kepada dua anak itu berkata suaminya Muhamad Najmi Syamil Muhamad Jazri, 30, yang akan bercuti selama tiga minggu Disember ini merancang untuk pulang ke kampung di Batu Pahat selain bercuti ke destinasi belum dipastikan lagi.
"Alhamdulillah memang itu yang ditunggu kerana lebih setahun kami berjauhan. Suami bekerja di sana sudah tiga tahun dan masa mula-mula Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) tahun lepas suami dapat balik ke Johor pada Jun namun dipanggil semula balik ke Singapura dua bulan berikutnya (Oktober).
"Kini apa yang saya harapkan agar urusan skim VTL berjalan lancar dan semoga suami dan mereka yang lain dapat berulang alik bekerja seperti dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagi pekerja syarikat pengeluaran air minuman di Singapura, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 35, berkata kesepakatan pemimpin kedua-dua negara berhubung pembukaan sempadan amat penting kerana ia dapat 'memulihkan' semangat mereka yang terjejas akibat rindu terhadap keluarga.
Menurutnya, dia dan rakan-rakan lain kini sedang berbincang dengan majikan berkaitan cuti panjang yang akan diambil bagi mengelakkan pertindihan cuti kerana ada antara mereka yang tidak pulang ke kampung sejak Mac tahun lepas.
Bercerita mengenai perancangan percutian, dia yang kali terakhir berjumpa isteri dan anak-anak pada Oktober tahun lepas berkata apa yang diharapkan ketika ini adalah untuk selamat pulang ke rumah bertemu keluarga dan menghabiskan masa khususnya dengan anak-anak yang kurang mengenalinya.
"Saya tinggalkan anak-anak masa mereka berumur tiga bulan jadi mereka tidak mengenali siapa saya jadi saya hendak ganti semula momen yang hilang itu dengan mereka," katanya.
Khamis lepas, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad memaklumkan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Link Kedua dijangka dibuka serentak dengan VTL melibatkan laluan udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Nov ini.
Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan juga bekerja di Johor Bahru.
-- BERNAMA