VTL antara Changi dan KLIA mampu pulihkan kembali industri penerbangan - Wee

Bernama
November 8, 2021 04:00 MYT
Wee Ka Siong berkata pengumuman VTL melegakan Keluarga Malaysia khususnya mereka yang terlibat dalam industri seperti kru penerbangan dan petugas di lapangan terbang. -Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelancaran Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 29 Nov ini mampu memulihkan kembali industri penerbangan yang sekian lama terkesan akibat COVID-19.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pengumuman VTL melegakan Keluarga Malaysia khususnya mereka yang terlibat dalam industri seperti kru penerbangan dan petugas di lapangan terbang.
"Diharapkan prosedur operasi standard (SOP) seperti kuarantin wajib atau kuarantin kendiri di rumah dilonggarkan memandangkan kemajuan ketara telah dicapai oleh kedua-dua negara (Malaysia dan Singapura) dalam pemberian vaksin dan pengurusan pandemik COVID-19 secara amnya," katanya menerusi catatan di akaun Facebook pada Isnin.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan menyambut baik pelancaran VTL itu dan pada masa yang sama penerbangan ke negara-negara rakan ASEAN yang lain juga kini dalam perbincangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan bersama pada Isnin mengumumkan Malaysia dan Singapura akan melancarkan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan KLIA mulai 29 Nov ini.
BACA: Ismail Sabri, Hsien Loong lancar Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin
Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas kedua-dua pemimpin berbincang melalui panggilan telefon pada Selasa.
Di bawah VTL, pelancong yang lengkap divaksin boleh membuat perjalanan antara Malaysia dan Singapura dan tidak perlu menjalani kuarantin atau Notis Duduk Rumah (SHN) jika melepasi ujian COVID-19.
Kedua-dua perdana menteri juga berharap dapat memulihkan perjalanan merentasi laluan darat dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
#VTL #laluan perjalanan vaksinasi #Singapura #Wee Ka Siong
;