Voice 370 mahu kerajaan kongsi semua maklumat sedia ada

Bernama
Ogos 7, 2018 21:55 MYT
Laporan Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 MH370 disiarkan pada 30 Julai. Gambar fail
Satu kumpulan pelobi terdiri daripada ahli keluarga mangsa tragedi MH370 , mahu Kerajaan Malaysia berkongsi semua maklumat yang ada dengan pakar bebas untuk membolehkan kajian semula dan analisis secara menyeluruh dilakukan.
Voice 370 dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, kumpulan itu percaya walaupun selepas lebih empat tahun sejak kehilangan MH370, tidak ada sebab untuk terus menyekat apa-apa maklumat apabila nilai probatifnya adalah jauh lebih penting daripada sebarang kesan yang memudaratkan.
"Walaupun Voice 370 mengaku hasil siasatan Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa Annex 13 bagi MH370, tetapi ahli keluarga MH370 kecewa Laporan itu dirumuskan secara kurang memuaskan yang boleh menyebabkan pelbagai interpretasi oportunis," kata kenyataan itu.
Voice 370 meminta Malaysia untuk terus komited kepada pencarian MH370.
Pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang, hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2004.
BACA: Tiada petunjuk baharu, waris penumpang kecewa
BACA: Laporan MH370 tidak beri jawapan diharapkan
BACA: Benarkan pihak lain ketuai misi pencarian - Pakar
Laporan Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 MH370 disiarkan pada 30 Julai. Pasukan itu merumuskan mereka tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kehilangan pesawat tersebut tetapi tidak menolak kemungkinan "campurtangan pihak ketiga" hingga menyebabkan penerbangannya tersasar daripada laluan asal.
-- BERNAMA
#kajian semula #kapal terbang #kecewa #keluarga #laporan #maklumat #Malaysia #Malaysia Airlines #MH370 #pakar #pakar bebas #pencarian #Pesawat Hilang #siasatan #Voice 370