VMS, papan iklan LED DBKL papar status cuaca mulai esok - Dr Zaliha
Bernama
November 21, 2024 13:50 MYT
November 21, 2024 13:50 MYT
KUALA LUMPUR: Semua khidmat Sistem Mesej Pelbagai (VMS) atau papan iklan LED di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memaparkan status semasa cuaca dan amaran kemungkinan banjir kilat bermula esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata langkah proaktif amaran awal itu bagi memastikan rakyat khususnya penduduk Kuala Lumpur dapat bersedia dan mengambil langkah awal kemungkinan berlaku bencana banjir kilat.
"Untuk usaha ini kita mendapat kerjasama daripada MetMalaysia (Jabatan Metrologi Malaysia) dan juga JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran). Langkah ini kita akan dimulakan dengan papan iklan LED di Menara DBKL terlebih dahulu," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang bertanyakan tentang langkah DBKL untuk mencegah dan menangani banjir kilat di Kuala Lumpur serta senarai projek pembangunan yang telah diluluskan DBKL di kawasan persekitaran kolam takungan banjir sejak 2014.
Dr Zaliha berkata DBKL turut menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Insiden Awam Kuala Lumpur bersama beberapa agensi lain sebagai langkah bantuan segera dalam tempoh kurang 30 minit daripada waktu terima amaran awal banjir jalan atau banjir kilat di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA