Vivy Yusof dan suami didakwa di Kuala Lumpur hari ini, suami Zahnita di Kuantan

Astro Awani
Disember 5, 2024 08:30 MYT
Vivy dan Fadzaruddin (kanan) akan didakwa berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah dan PNB dalam platform FashionValet sementara suami Zahnita Wilson akan didakwa atas tuduhan berkaitan kes keganasan rumah tangga dan dadah.
KUALA LUMPUR: Dua kes mahkamah melibatkan dua pasangan selebriti dijangka menjadi tumpuan ramai hari ini.
Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar akan didakwa berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang itu.
Pada Rabu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pihaknya juga menahan pasangan berkenaan di pejabat SPRM, tengah hari Isnin.
Bagaimanapun, katanya, pasangan terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM untuk hadir ke mahkamah pada Rabu.
Siasatan ke atas pasangan itu adalah susulan pendedahan Kementerian Kewangan bahawa Khazanah dan PNB hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Susulan itu, kediaman pasangan suami isteri di Mont Kiara, di sini diserbu dan SPRM menyita beberapa barangan termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Sementara itu, suami kepada bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson pula akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini atas tuduhan berkaitan kes keganasan rumah tangga dan dadah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kontraktor berusia 46 tahun itu akan didakwa atas dua pertuduhan berkaitan keganasan rumah tangga serta kesalahan berkaitan dadah.
Pada Selasa, Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman mengeluarkan perintah reman selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis ini, terhadap suami kepada Zahnita.
Tindakan reman ini dibuat susulan pendedahan Zahnita Wilson yang mendakwa menjadi mangsa keganasan dilakukan suaminya apabila mendedahkan wajahnya yang lebam di bahagian mata menerusi hantaran terkini dimuat naik di Instagram.
Pendedahan tersebut telah mencetuskan perhatian dan simpati daripada ramai pihak, termasuk peminat dan rakan artis.
#kes mahkamah #FashionValet #Vivy Yusof #suami Zahnita Wilson
;