Vivy Yusof dan suami akan didakwa atas pecah amanah Khamis ini

Assim Hassan
Disember 3, 2024 21:21 MYT
Azam berkata, kedua-dua pasangan itu ditahan SPRM pada tengah hari Selasa sebelum dibebaskan dengan jaminan. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat pertuduhan ke atas pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar pada Khamis.
Mengesahkan perkara itu, Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan itu akan dilakukan di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur.
Azam berkata, kedua-dua pasangan itu ditahan SPRM pada tengah hari Selasa sebelum dibebaskan dengan jaminan.
"Bagaimanapun kedua-dua mereka telah diminta hadir ke Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur untuk pertuduhan.
"Pasangan itu akan dituduh di bawah kesalahan pecah amanah (kanun keseksaan)," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Siasatan ke atas pasangan itu adalah susulan pendedahan Kementerian Kewangan bahawa Khazanah dan PNB hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Susulan itu, kediaman pasangan suami isteri di Mont Kiara, di sini diserbu dan SPRM menyita beberapa barangan termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
SPRM turut bertindak membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pasangan itu yang bernilai kira-kira RM1.1 juta.
#E-dagang #pelaburan #SPRM #suami isteri
;