Vivy dan Fadzaruddin mohon maaf, letak jawatan dalam FashionValet
Khalis Khadir
November 1, 2024 19:35 MYT
November 1, 2024 19:35 MYT
KUALA LUMPUR: Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd.
Menerusi kenyataan bersama pada Jumaat, keputusan itu dibuat berikutan isu terkini yang melibatkan penjualan saham Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd dalam syarikat berkenaan.
Katanya, tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan konflik ketika ini menjejaskan syarikat yang sedang dalam proses pemulihan.
“Kami mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan pelaburan ini. Sebagai dua individu yang bertanggungjawab mengurus syarikat, tanggungjawab ini terletak pada kami dan hakikatnya ialah kami telah mengecewakan para pelabur kami.
"Kami kecewa dengan diri kami sendiri dan sangat menyesal bahawa hal ini telah berlaku. Kami benar-benar minta maaf,” katanya dalam kenyataan di Instagram.
Dalam masa sama mereka turut menjelaskan kemelut tercetus ketika pihaknya cuba mengembangkan perniagaan secara terlalu agresif dan tiada perancangan rapi untuk berdepan sebarang risiko.
“Kami melabur besar dalam teknologi kami sendiri, menambah kakitangan dengan terlalu cepat dan membuka terlalu banyak kedai runcit.
"Kami membuat kesilapan dengan memperbesar syarikat dengan jangkaan pertumbuhan berterusan dan apabila pandemik COVID-19 melanda, kami kecundang. Walaupun kami cuba mengurangkan kos bagi menjimatkan aliran tunai termasuk menutup platform e-dagang kami, situasi semakin teruk.
“Kami meminta maaf atas kontroversi ini yang menjejaskan Khazanah dan PNB ini. Mereka sentiasa bertindak secara profesional dan demi kepentingan terbaik organisasi mereka. Kami berharap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang dan mereka akan terus menyokong usahawan tempatan yang lain,” katanya.
Pada Khamis, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa PNB dan Khazanah menjelaskan kerugian RM43.9 juta selepas menjual pegangan mereka dalam platform e-dagang FashionValet pada harga RM3.1 juta.