Vivian Lee letak semua kesalahan terhadap bekas teman lelakinya - Pendakwaan
Bernama
Mei 11, 2016 16:39 MYT
Mei 11, 2016 16:39 MYT
Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa bekas teman wanita kepada blogger, Alvin Tan, meletakkan semua kesalahan terhadap lelaki itu berhubung pertuduhan menyiarkan gambar mereka berserta kapsyen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' di laman Facebook mereka.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata Lee dalam pembelaannya berkata Tan adalah orang yang menyiarkan gambar dan kapsyen itu tanpa pengetahuan dan kebenarannya (Lee).
"Tertuduh (Lee) memindahkan keseluruhan kesalahan yang ada kepada Alvin (Tan). Jika benar tertuduh marah dengan 'posting' yang dibuat oleh Tan tanpa kebenarannya, dia sepatutnya mengambil setiap peluang yang ada untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa dia tidak mempunyai kaitan dengan 'posting' tersebut," katanya ketika berhujah di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Abdul Rashid
Daud.
Katanya keterangan tertuduh adalah tidak munasabah apabila dia menyatakan Tan adalah seorang yang suka mengongkongnya walhal peluang begitu banyak untuk menunjukkan ketidakbersalahannya.
Bagaimanapun beliau berkata pertuduhan masih diteruskan terhadap Vivian Lee atau Lee May Ling, 27, walaupun dengan ketiadaan Tan dari awal prosiding sehingga hari ini dengan menggunapakai Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dibuat secara bersama.
Pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 23 Nov lepas, hanya Lee yang hadir manakala Tan atau Tan Jye Yee melarikan diri ke luar negara.
Peguam Chong Joo Tian yang mewakili Lee berhujah bahawa pengakuan tidak bersalah anak guamnya sudah memadai yang dia tidak melakukan kesalahan itu.
Mahkamah menetapkan 27 Mei ini untuk keputusan.
Mengikut pertuduhan, Lee dan bekas teman lelakinya itu, didakwa menyiarkan gambar mereka sedang menikmati hidangan dengan kapsyen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' dan mengandungi logo halal di laman Facebook mereka.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 9 pagi, 12 Julai 2013 mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 14 April lepas, Hakim Abdul Rashid memerintah Lee membela diri terhadap pertuduhan itu.