Visual tanda ingatan tragedy MH17 dan MH370
Bernama
Ogos 21, 2014 23:46 MYT
Ogos 21, 2014 23:46 MYT
Sebuah visual dengan kata-kata 'Sentiasa Di Hati" dan 'Sentiasa Diingati" dipasang di pintu Gerbang Rebana Ubi, Jalan Syed Putra Kuala Lumpur-Petaling Jaya sebagai tanda ingatan terhadap semua mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dan MH370.
Pengarah Urusan Libroff Media Sdn Bhd Datuk Maarof Rahman berkata inisiatif itu adalah tanda penghormatan kepada mangsa dan anggota keluarga selain menzahirkan rasa dukacita serta kesedihan rakyat Malaysia atas tragedi berkenaan bersempena hari perkabungan negara.
"Setiap tahun, pada waktu ini pihak kami akan mempamerkan iklan bagi kempen 1Malaysia di pintu gerbang ini bersempena Hari Kemerdekaan, tetapi pada tahun ini, untuk mangsa tragedi itu.
"Keseluruhan 298 mangsa MH17 tersebut akan sentiasa di hati rakyat Malaysia buat selama-lamanya dan visual ini akan berada di sini sehingga bulan Disember ini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Bagi arah bertentangan menghala ke Kuala Lumpur pula, visual memperingati penumpang MH370 yang masih dalam pencarian, menzahirkan ingatan rakyat Malaysia terhadap tragedi misteri itu dengan kata-kata 'Sentiasa Diingati'.
"Kesemua 239 penumpang MH370 akan turut sama diingati oleh rakyat Malaysia selagi jasad mereka belum dijumpai, ini menunjukkan bahawa kami masih menaruh harapan di atas kepulangan penumpang-penumpang MH370," kata Maarof.
Pengurus Besar Libroff Media Sdn Bhd Faisal Mohd Salleh pula berkata rasional visual hati bagi kedua-dua belah pintu gerbang melambangkan keseluruhan rakyat Malaysia yang bersatu hati dan bintik-bintik putih di dalam bentuk hati melambangkan jumlah penumpang dalam tragedi berkenaan.
"Kami percaya walau apapun yang berlaku, rakyat Malaysia tetap akan berdiri teguh dan akan bersama-sama mengharungi segala kesusahan bersama, oleh itu, bentuk hati amat bersesuaian," katanya.
Pintu Gerbang Rebana Ubi di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Wisma Belia didirikan pada 2010, sering memaparkan iklan berkonsepkan 1Malaysia dan ciri perpaduan kaum.
Libroff Media Sdn Bhd adalah syarikat dalam kumpulan Libroff yang terbabit dengan penyediaan perkhidmatan pengiklanan dan teknologi sistem paparan.