Visi bakal wakil rakyat DUN Sungai Limau

Astro Awani
November 3, 2013 12:30 MYT
Dengan beberapa aliran sekolah di Sungai Limau, termasuk sekolah agama dan sekolah pondok, bakal wakil rakyat Sungai Limau ingin memajukan sistem pendidikan Islam dengan menyeluruh.
Bagi calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim, beliau ingin pendidikan agama yang moden dimana ia digabungkan dengan pendidikan akademik.
“Adalah menjadi hasrat kita untuk mendirikan Maahad Tahfiz Sains, seperti yang dibuat oleh kerajaan Terengganu untuk menggabungkan kurikulum Tahfiz dan sains dengan harapan kita akan melahirkan para hafiz yang mempunyai pengetahuan sains,” kata beliau dalam program Agenda AWANI yang bersiaran secara langsung dari Sungai Limau.
Calon PAS Mohd Azam Abdul Samad, yang merupakan seorang guru pula mahu memastikan bahawa penghayatan masyarakat kepada pendidikan, khususnya pendidikan Islam.
“Kita mengharapkan pendidikan yang ditawarkan pada hari ini akan diberikan kepada keseluruhan, khususnya sekolah agama rakyat dan sekolah agama bantuan kerajaan. Kita perkembangkan lagi kepada sekolah-sekolah yang lain,” kata beliau.
Klik di sini untuk melihat rakaman penuh Lintas Langsung Agenda AWANI.
#BN #Dr Ahmad Sohaimi Lazim #Mohd Azam Abdul Samad #PAS #pemilihan kerusi DUN #pendidikan #Pendidikan Islam #Sungai Limau
;