Visa Premium: Fasa pertama dapat sambutan, 20,000 permohonan diterima - Hamzah

Adie Sufian Zulkefli
September 5, 2022 19:31 MYT
Hamzah (tengah) hadir pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bersama masyarakat Siam di Pusat Latihan Penjara (PULAPEN), Pusat Koreksional Perlis, di sini hari ini. - Foto Astro AWANI
ARAU: Permohonan untuk Program Visa Premium (PVIP) Malaysia mendapat sambutan menggalakkan dimana selepas pelancaran fasa pertama sebanyak 20,000 permohonan diterima oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi ejen dalam tempoh 24 jam bermula Khamis lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk menaikkan jumlahnya berbanding fasa pertama 25,000 permohonan.
"Hari Khamis kita umumkan hari Jumaat sudah banyak ejen hantar surat dekat saya sudah melebihi 20,000 yang telah pun memohon melalui ejen-ejen.
"Saya ingin maklumkan mungkin kita hanya berikan fasa pertama ini tidak melebihi daripada 25,000 kerana sekiranya permintaan begitu baik fasa pertama Kabinet sudah bersetuju RM200,000 untuk mereka membayar fees yang ditetapkan visanya sebanyak RM200,000 sekiranya ia baik kita akan pertingkatkan sedikit lagi maka sebab itu lah saya mahu buat mengikut fasa," katanya.
Hamzah berkata demikian selepas menghadiri Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bersama masyarakat Siam di Pusat Latihan Penjara (PULAPEN), Pusat Koreksional Perlis, di sini hari ini.
Katanya, PVIP Malaysia dilihat mampu menarik hartawan global menetap dan melabur di negara ini.
Sementara itu Hamzah berkata menerusi program MEKAR, dapat membantu masyarakat Siam di Perlis menukar maklumat keturunan dalam kad pengenalan daripada bangsa Thai kepada Siam bagi membolehkan mereka mendapat manfaat yang sama seperti Bumiputera.
Untuk rekod, sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), maklumat kad pengenalan seramai 8,910 penduduk Siam adalah berketurunan bangsa Thai.
#visa premium #Hamzah Zainudin #Kementerian Dalam Negeri #PVIP
;