Visa ketibaan penting untuk jadikan sektor pelancongan negara lebih kompetitif

Bernama
Februari 11, 2023 09:15 MYT
Soon Hin berkata Malaysia perlu mengambil langkah proaktif seperti memberikan pelawat visa ketibaan bagi mempercepatkan proses permohonan visa dan memudahkan pelancong melawat dan meneroka segenap bahagian ditawarkan di negara ini. -Bernama
GEORGE TOWN: Kemudahan visa ketibaan penting untuk memastikan sektor pelancongan Malaysia kekal kompetitif dengan negara di Asia Tenggara, kata Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin.
Yeoh dalam kenyataan pada Jumaat berkata beliau menyokong kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing baru-baru ini mengenai langkah membenarkan visa ketibaan kepada semua negara yang perlu diteliti kerajaan.
"Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil pelbagai inisiatif untuk mengembalikan pelancong ke negeri ini, tetapi negara kita secara keseluruhannya masih bergelut untuk mengejar kemajuan negara jiran kita," katanya.
Yeoh berkata penambahbaikan dan penyesuaian perlu dilaksanakan dan kerajaan negeri perlu memikirkan semula kaedah supaya sektor pelancongan boleh bergerak ke hadapan, setelah krisis yang tidak dijangka telah menjejaskan sektor itu pada 2020.
Beliau berkata Malaysia perlu mengambil langkah proaktif seperti memberikan pelawat visa ketibaan bagi mempercepatkan proses permohonan visa dan memudahkan pelancong untuk melawat dan meneroka segenap bahagian yang ditawarkan oleh negara ini.
"Dengan pilihan yang ada, pelancong boleh mendapatkan visa ketibaan mereka di lapangan terbang, tidak perlu lagi memohon lebih awal.
"Saya yakin dengan perubahan ini akan dapat meningkatkan pelancongan sekali gus mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra dan mudah diakses di dunia," katanya.
Pada Selasa lepas, Tiong menggesa Kementerian Dalam Negeri untuk segera meneliti langkah memperluas visa ketibaan kepada semua negara terutama China dan India bagi mengelakkan Malaysia kehilangan daya saing di rantau ini.
-- BERNAMA
#visa ketibaan #Yeoh Soon Hin #sektor pelancongan #pelancong
;