Visa Furada: Ada risiko buat bakal jemaah haji
Bernama
Ogos 8, 2019 20:59 MYT
Ogos 8, 2019 20:59 MYT
Selepas isu 26 bakal jemaah haji dari Malaysia yang tidak dapat menunaikan rukun Islam kelima berikutan masalah pada visa haji Furada mereka, terdapat beberapa lagi kes bakal jemaah berhadapan masalah menunaikan haji, berkaitan visa yang sama.
Menurut pegawai di sebuah agensi pelancongan yang mengendalikan urusan jemaah haji, syarikatnya mendapat 151 visa Furada pada awalnya tetapi 79 bakal jemaah yang diuruskan agensinya tidak dapat menunaikan haji pada musim ini, selepas mengalami masalah teknikal pada visa mereka.
"Pada tahun ini kami menguruskan 151 bakal jemaah haji yang menggunakan visa Furada. Hanya 72 jemaah sahaja yang 'lepas' manakala 79 jemaah pula, mempunyai masalah teknikal berkaitan visa Furada mereka.
"Kami sudah cuba sedaya upaya mendapatkan visa yang dikatakan sudah lulus, namun tidak boleh lagi diproses berikutan proses pendaftaran di Arab Saudi telah ditutup," katanya kepada Bernama.
Salah seorang bakal jemaah haji yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci semalam, Sharifah Hunaini Syed Ismail, 43, berkata pembatalan untuk pergi menunaikan ibadah tersebut pada saat akhir, berikutan masalah visa itu memberi kesan kepadanya.
Jalan buntu
Beliau yang mendaftar dengan suaminya, Syed Mohd Rodizan Syed Mohd Zain, 44, dimaklumkan pada Isnin lepas hanya lapan daripada 15 bakal jemaah dalam kumpulannya akan diberikan visa haji Furada, tetapi permohonan kelapan-lapan mereka tidak dapat lagi diproses oleh kerajaan Arab Saudi, dan semua usaha untuk mendapatkan kelulusan menemui jalan buntu.
"Sebelum Asar semalam, kami diberitahu tentang pembatalan itu. Sebelum ini kami sudah dimaklumkan untuk bersedia bagi penerbangan yang dijadual selewat-lewatnya semalam," katanya.
Sementara itu, Mohd Awal Ibrahim, 59, berkata beliau reda dengan kejadian yang berlaku dan menganggap ia sebagai bukan rezekinya, untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
"Sekurang-kurangnya saya mendapat berita itu di rumah. Ada rakan saya daripada kumpulan lain yang sudah pun bersedia dan memakai ihram di lapangan terbang tetapi terpaksa berpatah balik ke rumah, selepas mendapat berita mengecewakan itu," katanya.
Mohd Awal berkata beliau membayar RM23,000 bagi mengerjakan ibadah haji melalui pemberian visa haji Furada, iaitu visa yang diperoleh dengan berurusan secara terus dengan Kedutaan Arab Saudi, sebagai usaha ke Tanah Suci lebih awal, memandangkan gilirannya menunaikan ibadah haji di bawah kelolaan Tabung Haji sepatutnya pada 2044.
Jadual penerbangan
Bagi Bibi Khatong Ridigol, 61, beliau resah sewaktu tidak mengetahui tentang jadual penerbangannya pada saat-saat akhir, namun tetap berfikiran positif untuk berpeluang menunaikan haji musim ini sehingga dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut.
"Anak-anak dan ahli keluarga terdekat semuanya datang menziarahi sejak minggu lepas kerana saya akan berangkat ke Tanah Suci. Cuma sekarang, sedikit terkilan kerana persiapan sudah dilakukan sejak Disember tahun lalu, dan impian melihat Kaabah, terpaksa ditangguhkan sementara," katanya.
Pada Selasa, seramai 26 jemaah rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah kerana memiliki visa haji Furada yang tidak sah, menyebabkan mereka terpaksa diterbangkan pulang ke Malaysia.
Visa Furada merupakan visa haji yang diperoleh dengan berurusan secara terus dengan Kedutaan Arab Saudi dan tidak melibatkan kuota haji sesebuah negara. Ia biasanya diberikan pada saat-saat akhir berdasarkan kekosongan yang ada.
-- BERNAMA