Virus Zika tidak jejas sektor pelancongan negara - Nazri Aziz
Bernama
Oktober 6, 2016 15:59 MYT
Oktober 6, 2016 15:59 MYT
Industri pelancongan negara setakat ini tidak terjejas berikutan beberapa kes jangkitan virus Zika di negara ini.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata malahan sehingga Jun tahun ini, jumlah kedatangan pelancong meningkat 3.7 peratus kepada 13.03 juta orang berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
"Tahun lepas Januari hingga Jun, jumlah kedatangan pelancong merekodkan 12.56 juta orang.
"Walaupun ia dilaporkan di akhbar (kes Zika) di negara ini dan jelas menunjukkan kes ini ada di sini, tetapi ia belum di tahap menjejaskan, kerana itu pelancong tetap datang kerana mereka rasa ia bukanlah perkara yang menakutkan," katanya kepada pemberita pada rangka Lawatan Kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, di sini hari ini.
Pada lawatan kerja tu, Nazri turut mengumumkan peruntukan RM360,000 bagi kerja membaik pulih Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas yang menempatkan Batu Megalit dan Makam Sheikh Ahmad Majnun.