Virus Zika ditemui di Malaysia pada 1969 - Pengkaji
Astro Awani
September 2, 2016 16:37 MYT
September 2, 2016 16:37 MYT
Zika merupakan virus sedia ada di Malaysia dan kaedah pencegahan jangkitan ini sama seperti kaedah yang digunakan untuk denggi, kata pengkaji.
Pengarah Pusat Kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Rujukan Abovirus, Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, virus Zika telah diasingkan daripada nyamuk pada 1969, di Bentong, Pahang.
Bagaimanapun, asal usul virus yang ditemui di Malaysia tidak diketahui memandangkan tiada kajian dibuat untuk menentukan genomnya.
"Ia mungkin datang dari Afrika atau mungkin berasal dari negara kita melalui monyet dan nyamuk," katanya lagi.
Menurut WHO, virus Zika ialah penyakit bawaan nyamuk yang pertama kali dikenal pasti di Uganda pada 1947, ditemui pada rhesus monyet.
Ia kemudiannya dikenal pasti menjangkiti manusia pada tahun 1952 di Uganda dan Tanzania. Setakat ini penyakit virus Zika telah direkodkan di Afrika, Amerika, Asia dan sekitar kawasan Pasifik.
Ditanya mengenai kenapa virus ini sudah wujud sejak sekian lama, tetapi isu bayi yang dilahirkan dengan otak kecil (microcephaly) hanya muncul baru-baru ini, Dr Sazaly memberitahu, saiz wabak yang menguat atau kemungkinan ia kejadian terpencil.
"Cara untuk mencegah jangkitan virus Zika hampir sama dengan kaedah yang digunakan untuk pencegahan denggi.
"Jika kita berjaya menangani denggi, kita akan berjaya menangani Zika juga," jelasnya.
Sementara itu, Perunding Penyelidikan UNiversiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit berkata, sejak virus Zika pertama kali diasingkan pada 1969 oleh sepasukan saintis Amerika, seorang pengembara Jerman telah disahkan menghidap jangkitan Zika ringan pada dirinya sekembali ke Jerman pada September 2014 selepas melawat Sabah.
"Ia kelihatan seperti Zika telah wujud beberapa dekad lalu dan merupakan jangkitan ringan," katanya.
Setakat ini masih belum ada kesimpulan muktamad bahawa virus Zika menjadi punca microcephaly walaupun wujud perkaitan yang agak kukuh, jelasnya.
"Jika microcephaly diseababkan oleh virus Zika, ini bermakna strain Zika di Brazil sudah mengalami perubahan dan menjadi lebih neurogenik.
"Oleh itu menjadi keperluan untuk dikaji gen strain ini bagi membandingkan dapatan daripada strain yang lalu," tambahnya.