Virus Zika: Belum ada larangan warga Malaysia ke Amerika Selatan
Astro Awani
Januari 30, 2016 20:09 MYT
Januari 30, 2016 20:09 MYT
Kerajaan belum mengeluarkan sebarang larangan kepada rakyat Malaysia yang mahu melancong ke Amerika Selatan dan Amerika Tengah yang terjejas dengan penularan virus Zika.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya bagaimanapun menasihatkan wanita mengandung supaya menangguhkan perjalanan ke benua berkenaan kerana mereka tergolong dalam kumpulan berisiko.
Menurut beliau, virus Zika boleh mengancam bayi dalam kandungan.
Dr Hilmi berkata, Kementerian Kesihatan turut mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memberi penerangan dan mengedarkan risalah kesihatan kepada pelancong Amerika Selatan dan Amerika Tengah serta rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan.
Sehingga kini, pihaknya menempatkan kakitangan kesihatan di pintu-pintu masuk utama negara terutama lapangan terbang bagi memberi penerangan berhubung virus berkenaan.
TONTON: WHO: Virus Zika merebak pantas
Mereka yang baru pulang dari negara terjejas dan mengalami simptom-simptom seperti demam dan bintik-bintik dinasihat mendapatkan rawatan segera atau melaporkan kepada Kementerian Kesihatan.