Virus mandulkan tikus lebih berkesan
Nabihah Hamid
September 1, 2013 16:58 MYT
September 1, 2013 16:58 MYT
Universiti Putra Malaysia (UPM) kini sedang membangunkan sejenis virus bagi memandulkan tikus yang dianggap lebih berkesan berbanding kaedah konvensional seperti memerangkap atau meracun bagi menghapuskan populasi haiwan yang membawa bakteria itu.
Ketua Pusat Penyelidikan dan Konservasi Hidupan Liar, Profesor Datuk Dr Abdul Rani Bahaman yakin, usaha yang memasuki tahun kedua jabatannya itu mampu menghasilkan satu kaedah berkesan membasmi tikus.
Seperti diketahui, tikus adalah haiwan yang cepat membiak menjadikannya sukar untuk mengawal populasi tikus di satu-satu kawasan. Namun, dengan adanya virus yang mampu memandulkan haiwan perosak itu, populasi haiwan tersebut dijangka dapat dikawal.
"Untuk kawal tikus sekarang kita gunakan pendekatan fizikal seperti menangkap dan memberikan racun.
Ini tidak praktikal. Saya rasa kita ada cara lain yang lebih praktikal. Selain dari membersihkan kawasan yang kotor, saya rasa lebih bagus kita gunakan kawalan biologi. Kami (UPM) sedang mengusahakannya," katanya.
Jelasnya, virus yang sedang dikaji itu akan dicipta untuk tidak memberikan kesan kepada manusia dan haiwan mamalia lain selain tikus. Dijangkakan projek virus itu akan memberi hasil dalam masa 3 tahun lagi.
"Virus ini tidak akan membahayakan manusia, dan hasilnya lagi 3 tahun akan kita lihat. Kaedah virus belum lagi ditentukan. Mungkin melalui penyebaran asap seperti 'fogging' ataupun berbentuk umpan," katanya lagi.
Jelasnya dengan mengawal populasi tikus, penyebaran wabak penyakit kencing tikus dapat diatasi sepenuhnya.
Namun katanya, pelupusan tikus hanya wajar dilakukan di sekitar bandar dan bukannya di kawasan hutan. Ini kerana katanya, pelupusan tikus akan mengubah kitaran biologi haiwan lain.
"Kita tidak boleh kacau hidupan tikus di kawasan hutan, kerana itu adalah makanan kepada burung pemangsa. Tapi saya tegaskan kehadiran tikus perlu dihapuskan di sekitar bandar,"
Tambahnya, kehadiran tikus di sekitar bandar sangat membimbangkan lebih-lebih lagi bakteria leptospira di dalam air kencing tikus yang boleh menyebabkan kematian dalam masa seminggu sekiranya tidak mendapatkan rawatan.
Statistik terkini dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati 6.8 juta tikus bersarang di Kuala Lumpur iaitu 4 kali ganda populasi penduduknya. Populasi tikus di sekitar ibu negara juga dikatakan meningkat sebanyak dua peratus setiap tahun.