Virus belum aktif, punca pesakit disahkan negatif kembali positif COVID-19

Astro Awani
April 17, 2020 20:15 MYT
Selain mengemas kini situasi COVID-19 di Sarawak ketika ini, Dr Sim turut memaklumkan segala keputusan diambil dengan melihat kepada keadaan semasa negeri itu. - Gambar Arkib Astro AWANI
Keputusan sampel pesakit yang menjalani ujian saringan COVID-19 buat pertama kali mungkin berbeza dengan keadaan sebenar.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dalam sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mendedahkan terdapat kes di mana ada pesakit yang sebelum ini negatif virus berkenaan boleh kembali positif.
Menurutnya, kemungkinan itu berlaku disebabkan beberapa faktor seperti terdapat situasi di mana jumlah virus di dalam badan pesakit adalah sedikit dan belum aktif.
Jelasnya, perkara ini mengakibatkan ujian yang dilaksanakan itu tidak berkesan.
“Apa yang berlaku ialah apabila kita dijangkiti virus pada hari pertama, ia mungkin terlalu sedikit. Jadi ujian untuk hari pertama keputusan mungkin negatif
“Jadi selepas dua ke tiga hari, virus ini tiba-tiba menjadi banyak dan selepas itu ujian yang dilakukan semula akan menjadi positif,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Sim melalui sidang media berkenaan turut memaklumkan kerajaan Sarawak masih belum membuat keputusan mengenai pembatalan E-Bazar Ramadan.
Jelas beliau, perkara itu akan diberi perhatian melalui satu perbincangan dengan Sekretariat JPBN Sarawak yang akan diadakan kelak.
Tambahnya, sebarang keputusan akan mengambil kira situasi semasa di negeri itu.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #COVID-19 #Dr Sim #Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak #JPBN #PKP #Sarawak
;