Viral palsu harga LPG naik, KPDNKK buat laporan polis
Anthea Yap
November 16, 2016 13:50 MYT
November 16, 2016 13:50 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah membuat laporan polis pada Selasa susulan hebahan palsu di media sosial kononnya harga gas petroleum cecair (LPG) akan dinaikkan sebanyak RM7.00 setong mulai tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata laporan tersebut dibuat pada pukul 11 pagi semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membolehkan pihak bertanggungjawab dikenal pasti dan dikenakan tindakan.
"Laporan kononnya harga LPG akan dinaikkan tidak benar sama sekali. Bagi saya, itu merupakan satu tindakan yang tidak bertangungjawab dan hanya menimbulkan suasana panik dalam kalangan pengguna.
Menurut Hamzah, selain KPDNKK, empat badan bukan kerajaan (NGO) turut membuat laporan polis berhubung perkara sama.
"Kita minta polis menyiasat perkara ini dan saya percaya ada satu kumpulan yang sengaja membangkitkan perasaan kurang senang rakyat kepada kerajaan," katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.