Vietnam perlu berperanan lebih besar bantu Myanmar tangani isu Rohingya
Astro Awani
Jun 23, 2020 20:07 MYT
Jun 23, 2020 20:07 MYT
Malaysia menyarankan Vietnam, selaku Pengerusi ASEAN 2020, agar memainkan peranan lebih besar dalam membantu Myanmar menangani isu pelarian etnik Rohingya yang turut menjejaskan negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian kepada rakan sejawatannya, Nguyen Xuan Phuc semasa perbualan telefon petang Selasa.
"Selain memperkukuh hubungan dua hala, kami juga komited untuk memperluas bidang kerjasama meliputi ekonomi, perdagangan, pertanian dan pendidikan untuk kepentingan bersama.
"Saya akhiri perbualan dengan menyarankan Nguyen Xuan Phuc supaya Vietnam selaku Pengerusi ASEAN 2020 dapat memainkan peranan lebih besar dalam membantu Myanmar menangani isu pelarian Rohingya yang turut menjejaskan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya pada Selasa.
Perbualan dua negara itu juga tertumpu kepada usaha kerjasama dalam mendepani cabaran semasa dan selepas penularan COVID-19.
"Kami berkongsi pengalaman mengenai langkah-langkah yang diambil kedua-dua negara dalam mengawal penularan pendemik itu, di mana setakat ini pendekatan tersebut berhasil.
"Kami juga sepakat kedua-dua negara perlu meningkatkan kerjasama dalam sektor kesihatan terutama dalam penghasilan vaksin dan ubat-ubatan untuk COVID-19," ujarnya.
#ASEAN
#ekonomi
#kesihatan
#koronavirus
#laman sosial
#Malaysia
#menteri
#Muhyiddin Yassin
#Myanmar
#pelarian
#pendidikan
#Perdana Menteri
#Rohingya
#Vietnam