Vietnam kuasai tahap kompetitif digital, Malaysia di tangga ke-15 di rantau Asia Timur dan Pasifik
Raja Hisyam Raja Zaid
September 5, 2021 17:23 MYT
September 5, 2021 17:23 MYT
KUALA LUMPUR: Vietnam menguasai carta teratas dalam kalangan negara Asia Timur dan Asia Pasifik dalam ukuran tahap kompetitif digital terbaharu, Digital Riser, oleh European Center For Digital Competitiveness.
Ranking terbaharu yang dikeluarkan juga menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-15 sementara China di kedudukan kedua di belakang Vietnam.
Ukuran tahap kompetitif digital diukur dengan mengambil kira beberapa faktor membabitkan sektor-sektor tertentu.
Ia termasuk ekosistem yang mencakupi ketersediaan modal teroka, kos untuk memulakan perniagaan, masa untuk memulakan perniagaan, kemudahan pengambilan pekerja asing selain set kemahiran graduan.
Di samping itu, corak pemikiran juga turut diambil kira dalam menentukan kedudukan sesebuah negara dalam menghadapi saingan digital serantau.
Ia melibatkan kemahiran digital dalam kalangan penduduk aktif, sikap terhadap risiko keusahawanan, kepelbagaian tenaga kerja, langganan jalur lebar mudah alih dan juga syarikat menggunakan idea disruptif.
Menurut pengasas Terato Tech, Reza Razali, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Malaysia agak ketinggalan dalam tahap kompetitif digital.
"Jika kita lihat, banyak program (digital) yang dilaksanakan di Indonesia dan Singapura misalnya melibatkan dana yang besar mencecah berbilion-bilion dolar.
“Jurang itu sahaja kita sudah kalah daripada segi tahap kemahiran yang ada, pasaran dan keupayaan kewangan yang kita miliki," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.