Sebuah lagi rakaman video seorang warga asing dipukul kerana didakwa mencuri wang tersebar luas di media sosial sejak semalam.

Video berdurasi dua minit yang dimuat naik oleh laman Facebook "Friends of Barisan Nasional" pada hari Ahad, menunjukkan mangsa disebat dan ditendang bertubi-tubi oleh seorang lelaki, dipercayai majikannya.

Suspek berkenaan dilihat memukul dengan menggunakan getap paip.

“Kejam! Seorang lelaki merayu-rayu jangan dipukul bosnya namun tidak dipedulikan. Beliau dikatakan disebat kerana mencuri wang syarikat,” menurut 'Friends of BN' di akaun Facebooknya.

Suspek yang kelihatan berang itu terus memukul mangsa walaupun mangsa merayu dan melutut di lantai supaya tidak dipukul.

Perbualan di antara mereka tidak begitu jelas namun mangsa itu dipercayai dituduh mencuri duit milik syarikat.

Lelaki itu kemudian menuntut mangsa memulangkan wang itu yang sedang menangis merayu untuk dilepaskan.

Berdasarkan dialek yang diggunakan oleh mangsa, ia jelas bahawa dia bukan seorang warga Malaysia.

Bagaimanapun, masih belum ada sebarang kenyataan atau pengesahan daripada pihak polis.

Setakat ini, video itu menerima lebih dari 49,000 tontonan dan telah dikongsi lebih daripada 1,000 sejak ia dimuat naik pada Ahad.

Susulan itu, netizen mula mengecam tindakan kejam lelaki itu dan menyifatkan ia sebagai satu perbuatan yang tidak berperikemanusian.

Mereka turut menyeru pihak polis untuk mengambil tindakan dengan segera terhadap suspek berkenaan.

Awal bulan ini, blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, dilihat menyerang seorang warga asing kerana didakwa mengganggu adik-beradik beliau.



Kejam ! Seorang lelaki merayu-rayu jangan dipukul bosnya namun tidak dipedulikan. Beliau dikatakan disebat kerana...

Posted by Friends of BN - Barisan Nasional on