Video 'viral' pesawat MAB: Senario biasa sewaktu ribut pasir - bekas residen Jeddah

Hamzah Hamid
September 12, 2015 15:55 MYT
Pesawat Malaysia Airlines tersebut meluncur di atas landasan di dalam kawasan lapangan terbang dan kenderaan (sumber rakaman video) itu adalah kereta VIP Reception, kata bekas residen Jeddah. - Gambar fail
Video viral sebuah pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) sedang meluncur dalam ribut pasir di atas landasan lapangan terbang Jeddah bersebelahan sebatang jalan yang dilalui kenderaan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Perkara itu dinyatakan oleh seorang warga Malaysia, Yunos Abdul Rahman, 36, yang pernah menetap dan bekerja di bandaraya terbesar dalam wilayah Mekah tersebut selama tujuh tahun.
“Lapangan Terbang Jeddah ada dua terminal iaitu Terminal Utara untuk penerbangan antarabangsa dan Terminal Selatan hanya untuk penerbangan Saudia. Penerbangan MAS selalunya akan menggunakan Terminal Utara.
“Di antara dua terminal itu memang ada banyak jalan yang menghubungkan dua terminal,” ujarnya.
Menurut pegawai undang-undang tersebut, oleh kerana lapangan terbang Jeddah tidak mempunyai jambatan udara, penumpang yang hendak ke pesawat perlu menaiki bas.
Selain daripada perkhidmatan bas, lapangan terbang Jeddah turut menawarkan perkhidmatan 'VIP Reception' iaitu kenderaan mewah yang akan pergi terus ke pesawat untuk menghantar atau menunggu ketibaan penumpang.
“Apabila saya tengok video viral itu, saya memang boleh cam bahawa itu memang di dalam kawasan lapangan terbang dan kenderaan (sumber rakaman video) itu adalah kereta VIP Reception,” jelasnya.
Berkenaan ribut pasir yang kini melanda Jeddah, Yunos berkongsi pengalamannya dengan mengatakan itu fenomena biasa terutamanya apabila berlaku perubahan musim antara panas ke sejuk.
Jelasnya, ribut pasir di Jeddah yang secara geografi terletak berdekatan garis pantai lazimnya tidak seteruk di Riyadh yang kedudukannya berada di tengah-tengah padang pasir.
“Sekarang ini adalah bulan September hendak memasuki Oktober, memang selalunya akan berlaku ribut pasir dalam waktu ini.
“Memang selalu ada ribut pasir, cuma yang membezakan adalah tahap intensitinya,” jelas Yunos yang bagaimanapun mengakui ribut pasir yang melanda Jeddah dan Mekah kali ini agak teruk.
Katanya, apabila ribut pasir berlaku, penduduk tempatan akan mengambil tindakan untuk berada di dalam bangunan dan jadual penerbangan di lapangan terbang akan tergendala sementara.
Terdahulu, Malaysia Airlines Berhad pada Sabtu menjelaskan video yang 'viral' mengenai sebuah pesawat MAS di dalam ribut pasir belum dapat disahkan.
Pengurus Kanan Komunikasi Korporat MAB Khairunisak Dzun Nurin dalam jawapan menerusi applikasi WhatsApp kepada Astro Awani berkata, kesemua pesawat MAB selamat mendarat di Jeddah.
#Jeddah #lapangan terbang #Malaysia Airlines #MAS #mendarat #pesawat #ribut pasir
;