Video viral: Pembangkang gagal aibkan Ahmad Maslan - Lokman Adam
Wan Syamsul Amly
April 9, 2015 16:04 MYT
April 9, 2015 16:04 MYT
Video Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang gagal bersalam dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di dalam satu majlis disifatkan propaganda pembangkang untuk menjatuhkan pemimpin Barisan Nasional (BN)
Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Lokman Noor Adam berkata, video yang tersebar itu sebenarnya telah disunting dan babak Ahmad bersalam dengan Sultan Ibrahim sengaja dipotong untuk dibuat bahan jenaka oleh pembangkang.
"Sebenarnya Ahmad bersalaman dengan Sultan Johor. Pemimpin terbaik akan mengutamakan rakyat.
"Pembangkang sengaja jadikan video ini bahan untuk menjatuhkan Ahmad yang banyak dikritik akhir-akhir ini akibat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 1 April lepas," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Video berdurasi 45 saat yang memaparkan Sultan Ibrahim bersalaman dengan rakyat tersebar luas di media sosial.
Di dalam video itu, Ahmad kelihatan berusaha untuk bersalaman dengan Sultan Ibrahim namun gagal sehingga akhir.
Bukti Ahmad bersalaman dengan Sultan Ibrahim di dalam majlis bersama rakyat. -Gambar Lokman
Kata Lokman lagi, situasi sama juga berlaku kepada mana-mana pemimpin di dalam majlis melibatkan rakyat.
"Pemimpin mengutamakan rakyat dan harus meletakkan rakyat sebagai kepentingan.
"Jadi tiada isu sebenarnya dalam hal ini. Pembangkang sengaja menyebarkan keburukan selepas disunting dan mahu kebencian rakyat memuncak terhadap pemimpin negara," jelasnya.
Menurut Lokman lagi, pembangkang juga terlupa banyak lagi sumber rakaman selain wartawan.
"Pembangkang ni bila mereka cuba 'spin' sesuatu, mereka ingat mereka sahaja wartawan yang hadir.
"Tapi zaman sekarang semua orang yang ada handphone boleh jadi wartawan. Mungkin mereka yang merakam insiden Ahmad hulur tangan ini fikir jika mereka edit video tersebut, tentu ada orang lain yang merakam dan rakyat tidak akan tahu cerita benar.
"Malangnya, perbuatan pemfitnah tersebut akhirnya didedahkan dengan gambar Ahmad bersalaman dengan Tuanku Sultan Johor," jelasnya.
Video berdurasi 45 saat yang menunjukkan Ahmad cuba bersalam dengan Sultan Ibrahim. -Sumber YouTube SUARA.TV.