Video tular: Wanita ugut, serang guna buluh di stesen minyak akan didakwa esok
Sinar Harian
Oktober 21, 2024 15:38 MYT
Oktober 21, 2024 15:38 MYT
SUNGAI BULOH: Tindakan seorang wanita membuat ugutan jenayah serta cubaan menyerang menggunakan buluh dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Hillpark Saujana Utama, di sini, membawa padah apabila dia akan didakwa pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, wanita berusia 42 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Besar.
Beliau berkata, kertas siasatan sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan pihak polis mendapat arahan pertuduhan ke atas suspek.
"Suspek akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
"Suspek juga akan didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan wanita yang melakukan ugutan jenayah dan cubaan bertindak menyerang dengan menggunakan buluh di sebuah stesen minyak sudah ditahan polis.
Wanita berusia 42 tahun itu ditahan di Balai Polis Saujana Utama pada jam 3.40 pagi. - Sinar Harian