Video tular wanita enggan tinggalkan hospital bukan dirakam di wad kuarantin COVID-19
Lynch Cowan
Februari 3, 2021 20:56 MYT
Februari 3, 2021 20:56 MYT
MIRI: Pihak pengurusan Hospital Miri menjelaskan bahawa video seorang wanita yang tular dan enggan meninggalkan pesakit dipercayai ahli keluarganya di wad bersendirian bukan dirakam di wad kuarantin COVID-19 di hospital berkenaan.
Hospital Miri dalam kenyataan menjelaskan kejadian itu berlaku apabila wanita berkenaan gagal bekerjasama dan mematuhi polisi pihak pengurusan hospital.
"Semasa kejadian, kakitangan hospital telah merakam video dengan tujuan untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada ketua jabatan masing-masing dan rakan-rakan lain.
"Ingin juga dijelaskan bahawa ketika rakaman itu diambil ia bukan berada di wad kuarantin pesakit COVID-19 seperti yang tular di media sosial," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah kenyataan itu lagi, kejadian itu dapat diselesaikan dengan bantuan pihak polis.
Katanya, wanita berkenaan turut menjalani sesi kaunseling dan mendedahkan mengalami tekanan perasan dan stress serta bimbang akan keadaan pesakit.
Pada 27 Januari lalu, Hospital Miri dalam kenyataan tidak dibenarkan para pelawat untuk masuk ke wad di Hospital Miri berkuat kuasa serta-merta ekoran peningkatan kes jangkitan tempatan COVID-19 di bahagian itu sejak kebelakangan ini.
Malah, seorang pesakit hanya dibenarkan dijaga oleh satu penjaga tetapi keberadaan penjaga tersebut di wad tertakluk kepada budi bicara pengurusan wad terlibat.
Selain itu, Hospital Miri berharap orang ramai berhenti menyebarkan video tersebut.