Video tular: Wanita cedera parah ditimpa buah kelapa

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 27, 2022 13:29 MYT
Difahamkan kejadian berlaku pada pagi Ahad ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari Teluk Kumbar menghala ke George Town.- Foto ihsan pembaca
BALIK PULAU: Seorang wanita cedera parah selepas sebiji buah kelapa tiba-tiba jatuh lalu menimpanya ketika dia yang sedang membonceng motosikal bersama anaknya melalui Jalan Teluk Kumbar, Balik Pulau, pagi semalam.
Menurut perkongsian oleh anak mangsa di laman Facebook (FB) miliknya, akibat kejadian itu, ibunya mengalami patah bahu kanan, patah tangan kiri serta patah dua tulang rusuk.
Manakala adiknya yang menunggang motosikal tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan kejadian berlaku pada pagi Ahad ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari Teluk Kumbar menghala ke George Town.
Ketika melalui tempat kejadian, sebiji buah kelapa tiba-tiba gugur lalu menimpa mangsa menyebabkan wanita itu terjatuh di atas jalanraya.
Video berdurasi 28 saat yang menunjukkan mangsa terjatuh dari motosikal selepas kelapa itu menimpanya tular di media sosial.
Dalam video tersebut, kelihatan anak mangsa sempat mengawal motosikalnya sebelum berhenti di tepi jalan bagi membantu ibunya yang terbaring di atas jalanraya.
Video Tular | Wanita parah, buah kelapa jatuh timpa kepala
Sementara itu, Ahli Dewan UNdangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, dalam catatan Facebooknya menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa mangsa.
Menurut Azrul, mangsa dikenali sebagai Puan Anita yang tinggal di Taman Emas, Teluk Kumbar.
Katanya, sebaik menerima maklumat berhubung kejadian, beliau bergegas ke lokasi kejadian dan meminta agensi berkaitan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu.
Azrul berkata kebanyakan pokok kelapa di sepanjang jalan itu adalah milik pemilik persendirian.
Katanya, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
#wanita cedera parah #dihempap kelapa #kemalangan #Balik Pulau
;