Video tular: Polis sudah tahan pengasuh, akan didakwa kerana mendera
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 16, 2022 17:28 MYT
Mac 16, 2022 17:28 MYT
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang sudah mengambil tindakan terhadap seorang wanita yang didakwa mendera seorang bayi di bawah jagaannya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, wanita warga asing berusia 53 tahun itu akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Jelasnya, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada 2 Disember lepas dan wanita berkenaan sudah diberkas polis pada 8 Disember sebaik laporan polis dibuat.
Soffian berkata wanita itu kini ditahan reman di Penjara Seberang Perai di Jawi sementara menunggu tindakan selanjutnya.
"Suspek masih ditahan di Penjara Jawi, saya seru orang ramai supaya semak sebelum sebar dimana-mana medium kerana tindakan tidak semak jika ianya tidak tepat timbulkan susah sedangkan tindakan serta-merta dibuat. Kita sudah ambil tindakan sewajarnya pada masa itu," katanya.
Soffian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
Suspek sebelum ini didakwa mendera empat kanak-kanak dimana dia melakukan perbuatan menampar, menghentak tangan ke lantai di sebuah rumah di Gelugor, Pulau Pinang.
Soffian berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di George Town pada Rabu.
Terdahulu rakaman perbuatan wanita berkenaan tular di media sosial sejak malam Selasa .
Terdapat empat rakaman antaranya memaparkan wanita yang sedang memakaikan baju kepada bayi menampar pipi mangsa, selain menghentak badan dan tangan bayi ke lantai mendapat reaksi pelbagai pihak.
Perbuatan berkenaan dipercayai dirakam anak tiri kepada pengasuh berkenaan yang berada di meja makan sewaktu insiden berlaku.