Video tular: Polis minta pemandu bas guna telefon ketika memandu serah diri

Sinar Harian
April 1, 2023 12:26 MYT
Polis menggesa pemandu bas yang tular memandu sambil menggunakan telefon bimbit untuk tampil bantu siasatan. -Foto tular media sosial
KUALA LUMPUR: Polis meminta seorang pemandu bas yang dikesan menggunakan telefon semasa memandu untuk tampil menyerah diri.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, tindakan pemandu itu tular di media sosial TikTok menerusi satu rakaman video berdurasi 21 saat.
"Tindakan pemandu bas ini boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada penumpang bas tersebut tetapi kepada pengguna jalan raya lain.
"Kejadian itu dipercayai dirakam oleh salah seorang penumpang bas terbabit," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat nombor pendaftaran bas tersebut adalah ALM9815 dan ketika kejadian bas itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Ipoh.
Katanya, JSPT menggesa pemandu bas terbabit segera menyerah diri ke balai trafik daerah berhampiran atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.
"Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian ini, boleh sama-sama menyalurkan kepada JSPT melalui Facebook Messenger atau emel terus ke protrafik_ba@rmp.gov.my," ujarnya. -Sinar Harian
#pemandu bas #JSPT Bukit Aman #guna telefon bimbit ketika memandu #dirakam penumpang bas
;