Video tular: Polis cari mangsa ragut
Sinar Harian
Mei 7, 2023 15:53 MYT
Mei 7, 2023 15:53 MYT
KUALA LUMPUR: Polis meminta seorang wanita yang menjadi mangsa ragut di sebuah kedai di Pusat Bandar Utara Off Jalan Ipoh, di sini, pada Sabtu, supaya tampil membuat laporan polis.
Ini susulan video tular di media sosial daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 30 saat memaparkan seorang wanita diragut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketika kejadian pada jam 11.59 pagi, mangsa yang berjalan di tepi kaki lima kedai diragut oleh seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal.
"Suspek dilihat dengan pantas telah menarik beg tangan mangsa, kemudian melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Eng Lai berkata, Polis Kuala Lumpur telah membuat semakan dan mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berhubung insiden tersebut.
"Kita menyeru agar mangsa yang terlibat dalam insiden ini tampil untuk membuat laporan agar siasatan lanjut dapat dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul ditalian 03-40482222," katanya. -Sinar Harian