Video tular pergaduhan di Hospital Taiping hanya latihan simulasi - Polis

Aida Aziz
Ogos 25, 2022 16:04 MYT
Simulasi itu berlangsung pada Rabu dianjurkan pihak hospital dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Taiping. - Foto: Ihsan pembaca
TAIPING: Video dan imej yang tular di media sosial memaparkan berlakunya pergaduhan serta pertumpahan darah di Hospital Taiping, hanyalah latihan simulasi kebakaran semata-semata.
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Razlam Ab Hamid berkata simulasi itu berlangsung semalam (Rabu) yang dianjurkan pihak hospital dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Taiping.
Katanya lagi, simulasi tersebut dibuat sebagai pendedahan mengenai latihan bencana, kaedah mencegah dan langkah-langkah yang perlu diambil semasa berhadapan kebakaran pada masa akan datang.
"Latihan itu berlangsung sekitar jam 11.50 pagi hingga 1 tengah hari , ia dibuat di Jabatan Diatetik & Sajian Hospital Taiping.
"Simulasi tersebut telah menarik perhatian orang ramai yang berada di kawasan tersebut dan telah disebarkan melalui media sosial Facebook.
"Gambaran dan aksi semasa latihan tersebut kelihatan seperti pergaduhan. Walau bagaimanapun, peralatan yang digunakan dan setiap aksi yang dilakonkan adalah latihan semata-mata kepada 54 orang petugas hospital berkenaan.
"Ia bagi mempersiapkan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai prosedur pengurusan bencana seperti kebakaran dan lain lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Razlam turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Orang ramai juga digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai perkara berkenaan.
Sebelum ini tular di media sosial yang mendakwa tukang masak di Hospital Taiping bergaduh sesama sendiri sehingga berlaku pertumpahan darah.
Selain itu terdapat video berdurasi 33 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki ditusuk pisau pada bahagian dada kanan, manakala seorang lagi lelaki melecur dikatakan disiram minyak masak panas.
Dalam rakaman tersebut, mangsa juga dilihat dibawa menaiki pengusung ke arah ambulans oleh petugas perubatan.
#pergaduhan hospital taiping #video tular #Hospital Taiping #Simulasi #bomba #polis
;