Video tular pensyarah didakwa hina golongan B40, UiTM ambil tindakan
Hilmi Malik
Mac 30, 2022 14:10 MYT
Mac 30, 2022 14:10 MYT
KUALA LUMPUR : Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengambil tindakan susulan video tular membabitkan seorang pensyarah yang mengeluarkan kenyataan kurang senang terhadap seorang pelajar akibat tidak mempunyai komputer riba.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk menjatuhkan nama baik organisasi pendidikan itu.
Ujarnya lagi, kewujudan UiTM adalah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian di universiti terutamanya golongan B40.
“UiTM amat memahami kekangan, kesulitan dan situasi yang dihadapi oleh pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian. Pihak universiti juga telah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan para pelajar yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar, bantuan dari pusat zakat serta dari pihak alumni.
“Pelajar yang berhadapan dengan sebarang masalah diminta agar berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Rabu, tular mengenai sebuah video yang menyaksikan seorang pensyarah dipercayai daripada UiTM yang memarahi seorang pelajar berikutan tidak memiliki komputer riba sewaktu mengikuti sesi pengajian secara atas talian.
Tindakan itu telah mengundang kecaman orang ramai yang tidak bersetuju dengan cara tersebut malah dikatakan telah memperlekehkan golongan B40.