Video tular: Mohammad Agus dedah identiti 'Mr H'

Hilmi Malik
November 20, 2023 18:00 MYT
Pelbagai spekulasi timbul termasuk ada mengaitkan video itu sebagai antara sebab Agus membuat keputusan untuk melepaskan jawatan Ketua Pengarah J-KOM. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KAJANG: Identiti "Mr H" yang didakwa terkait dengan video tular berkaitan dengan perbualan jelik telah didedahkan kepada pihak polis.
Perkara itu dimaklumkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Mohammad Agus Yusoff.
"Saya dah jumpa pegawai penyiasat dan selesai diambil keterangan dan saya telah dedahkan siapa
'Mr H'.
"Soal siasat semua berkaitan dengan video tular yang ditanya pihak polis dan saya telah jawab semuanya," katanya selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor pada Isnin.
Selain itu, Mohammad Agus turut memberitahu, pihaknya telah membuat laporan polis yang kedua berikutan video tular di aplikasi TikTok pada Isnin.
[TERKINI] Mohammad Agus selesai beri keterangan kepada polis
Menurutnya, laporan polis itu dibuat terhadap Raja Petra berikutan wujud maklumat sulit yang telah terdedah melibatkan dirinya dan keluarga.
Sementara itu, peguamnya, Faizal Rahman turut mempersoalkan bagaimana laporan polis yang dibuat sebelum ini boleh terdedah secara terbuka.
Ujarnya, perkara sedemikian tidak akan berlaku sekiranya tidak melibatkan peringkat dalaman.
"Laporan sebelum ini boleh terdedah secara lengkap jadi kita syak ada kebocoran maklumat dalaman di peringkat PDRM.
"Kes ini sedang disiasat sebagai jenayah terkelas jadi bagaimana laporan polis yang penting boleh terdedah dan kita minta PDRM untuk adakan satu lagi siasatan.
Ditanya mengenai seorang lagi individu yang dikenali sebagai Abdul Wahab Abdul Kadir. pihaknya memaklumkan polis akan memanggil beliau dalam masa terdekat.
Setakat ini, beliau juga mengesahkan, polis tidak melakukan sebarang rampasan telefon bimbit milik individu lelaki berkenaan.
Sebelum ini, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan Abdul Wahab
Saya sudah dedahkan siapa Mr.H kepada pihak polis
Mohammad Agus pada sidang medianya di sebuah hotel di Bangi, mendakwa video itu disunting dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Terdahulu, satu klip video memaparkan perbualan jelik antara Mohammad Agus dan Abdul Wahab tular ketika Agus yang juga seorang bekas pensyarah, dilapor menyerahkan surat peletakan jawatannya yang berkuat kuasa 15 Disember.
Pelbagai spekulasi timbul termasuk ada mengaitkan video itu sebagai antara sebab Agus membuat keputusan untuk melepaskan jawatan Ketua Pengarah J-KOM.
Bagaimanapun, Agus dalam satu sidang media pada Jumaat lalu, ketika menafikan tindakannya menghantar surat peletakan jawatan itu berpunca daripada tekanan oleh mana-mana pihak.
#Mohammad Agus Yusoff #abdul wahab abdul kadir #Jabatan Komunikasi Komuniti #perbualan celik antara Mohammad Agus dan Abdul Wahab
;