Video tular: Lelaki serang, cederakan bekas teman wanita dengan pisau ditahan

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 7, 2024 10:10 MYT
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki memegang seorang wanita sambil mengacukan pisau di sebuah pasar raya di Butterworth.
BUTTERWORTH: Polis menahan seorang lelaki selepas dia menyerang bekas teman wanitanya dengan pisau di sebuah pasar raya di Bagan Ajam, Butterworth, Ahad lepas.
Rakaman kejadian yang berlaku jam 8.45 malam itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Anuar Abdul Halim, berkata polis menerima laporan daripada mangsa mendakwa dia telah diganggu lelaki yang juga bekas teman lelakinya.
"Semasa berada di dalam premis tersebut, suspek dikatakan telah menyerang mangsa dengan sebilah pisau sehingga menyebabkan jari kelingking kanannya cedera semasa bergelut dengan suspek.
"Suspek berjaya ditangkap orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut sebelum anggota Unit Kereta Peronda Polis( MPV) Butterworth menahan suspek untuk tindakan reman.
"Suspek kemudian direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan.
"Tindakan menuduh suspek akan dilaksanakan segera setelah menerima arahan dari Timbalan Pendakwa Raya," kata Anuar dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan seorang lelaki memegang seorang wanita sambil mengacukan pisau di sebuah pasar raya di Butterworth.
Orang ramai yang berada di lokasi kemudian dilihat cuba menenangkan suspek sebelum mereka menahannya dan menyerahkan dia kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdapat kesan darah di atas lantai pasar raya berkenaan susulan kecederaan dialami mangsa dalam insiden terbabit.
#video tular #bekas teman wanita #serang dengan pisau #pasar raya