PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah merekodkan keterangan seorang lelaki dipercayai mendera anjing baka Husky di sebuah kondominium di Kajang.


Ringkasan AI
  • Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) merekodkan keterangan seorang lelaki yang dipercayai mendera anjing baka Husky di sebuah kondominium di Kajang, selepas menerima aduan rasmi dan melakukan pemeriksaan.
  • Anjing Husky tersebut telah dibawa ke klinik haiwan swasta di Kota Damansara sebelum diserahkan kepada DVS untuk siasatan lanjut, dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang membawa hukuman denda dan penjara jika didapati bersalah.
  • DVS menegaskan bahawa mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keadaan anjing Husky tersebut seperti yang ditularkan di media sosial, dan akan mengambil tindakan perundangan terhadap individu yang membuat tuduhan palsu.


DVS dalam kenyataan berkata, aduan rasmi telah diterima pihaknya pada Isnin lalu sebelum pemeriksaan awal dibuat pada jam 11 pagi, keesokannya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati anjing Husky tersebut telah dibawa keluar oleh orang awam dari lokasi kejadian ke klinik haiwan swasta yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya sebelum pihaknya mengambil haiwan itu untuk siasatan dan pemeriksaan lanjut oleh Pegawai Veterinar.

"Kertas siasatan telah dibuka untuk siasatan di bawah Perenggan 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].

"Sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya," katanya pada Khamis.

Tambah DVS, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

"Selain itu, DVS juga ingin menegaskan bahawa DVS tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keadaan anjing Husky sebelum ini seperti mana yang ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial.

"DVS memandang serius tindakan mana-mana individu yang membuat tuduhan palsu di rangkaian media dan aplikasi sosial," ujarnya.

Justeru, DVS berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk melibatkan sudut perundangan terhadap pihak yang terlibat dengan perkara sedemikian.

"Sebarang aduan berhubung kebajikan haiwan boleh disalurkan kepada DVS melalui pautan awa.dvs.gov.my (MyAnimalWelfare)," katanya. - Sinar Harian