Video tular: Kawalan akan diperketat elak insiden Tasik Cermin berulang

Noraida Abdul Kassim
Disember 16, 2021 19:37 MYT
Baru- baru ini, media melaporkan Tasik Cermin di sini ditutup susulan tular video menunjukkan seorang lelaki terjun ke dalam tasik berkenaan. - Gambar tangkapan layar media sosial
IPOH: Kawalan di kawasan tumpuan pengunjung Tasik Cermin akan diperketat bagi mengelakkan insiden yang tular di media sosial di kawasan berkenaan berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata pihaknya akan mengambil tindakan berhubung isu lelaki yang terjun di tasik tersebut.
"Kita mengambil dan sedang membuat semakan untuk tindakan berhubung perkara itu.
"Bagaimanapun pada ketika ini kita masih belum mendapat maklumat yang tepat siapa yang melakukan perkara berkenaan.
BACA: 'Jangan sampai Tasik Cermin ditutup pula selepas ini'
"Pada waktu yang sama kita akan memperketatkan lagi kawalan dan juga tindakan untuk memastikan perkara seperti itu tidak berlaku," jelasnya.
Nolee Ashilin berkata demikian pada sidang media Pangkor Sea Challenge 2021 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
BACA: Tasik Cermin ditutup mulai hari ini susulan tular lelaki terjun
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu video tular seorang lelaki yang bertindak terjun ke dalam Tasik Cermin, Ipoh.
Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak dibenarkan demi keselamatan pengunjung.
"Semestinya impak daripada isu berkenaan sama ada lagi ramai orang pergi nak tengok (Tasik Cermin) atau kita terpaksa tutup tempat itu.
"Justeru, kita minta pengunjung lebih bertanggungjawab apabila melawat kawasan yang dikira sebagai kawasan pelancongan," katanya.
Baru- baru ini, media melaporkan Tasik Cermin di sini ditutup susulan tular video menunjukkan seorang lelaki terjun ke dalam tasik berkenaan.
Terdahulu dalam sidang media itu, Nolee Ashilin berkata Pangkor Sea Challenge 2021 akan diadakan pada 30 hingga 31 Disember ini di Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor.
Katanya, penganjuran acara itu adalah jalinan kerjasama di antara Tourism Perak dan Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pangkor serta agensi kerajaan.
#Tasik Cermin #Nolee Ashilin Mohammed Radzi #video tular #video tular lelaki terjun tasik
;