Video tular JPJ cabut kunci: Penunggang motosikal cuba patah balik, lawan arus
Aida Aziz
Februari 25, 2024 06:45 MYT
Februari 25, 2024 06:45 MYT
IPOH: Tindakan pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mencabut kunci motosikal dua penunggang di persimpangan lampu isyarat Teluk Intan disebabkan ada yang cuba berpatah balik dan lari dari sekatan jalan raya (SJR) mendapat perhatian orang ramai.
Seperti video yang tular di media sosial, Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Perak, Mir Khairol Hafizal Mir Idris berkata, tindakan itu wajar dilakukan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain.
"Tular video memaparkan seorang penguat kuasa JPJ Perak sedang mencabut kunci motosikal di lampu isyarat.
"Semasa operasi dijalankan, terdapat segelintir penunggang motosikal cuba berpatah balik melawan arus untuk lolos.
"Ia membahayakan pengguna jalan raya lain, susulan itu beberapa penguat kuasa ditugaskan untuk memberhentikan motosikal yang cuba berpatah balik," katanya ketika dihubungi malam tadi.
Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, selain ramai yang mempersoalkan adakah itu termasuk dalam prosedur operasi standard (SOP) JPJ.
Katanya, ketika itu, penunggang motosikal tersebut dari Changkat Jong ke Bidor.
"Anggota JPJ memberi amaran dan nasihat supaya tidak mengulangi kesalahan itu kerana tindakan melarikan diri dari SJR boleh mengundang risiko kemalangan.
"Bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah pengguna jalan raya lain serta anggota pasukan penguat kuasa," katanya lagi.
Jelasnya, pemeriksaan ketika SJR adalah untuk mengesan kesalahan dilakukan dan mengeluarkan saman.
Selain itu, katanya, ia bukan merujuk kepada kes jenayah dan tiada keperluan untuk melarikan diri daripada SJR, kecuali terbabit dengan kes jenayah.
Dalam pada itu, Mir Khairol berkata, Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina itu dilaksanakan pada 21 Februari lalu di persimpangan lampu isyarat Teluk Intan.
Beliau menambah, dalam operasi itu, JPJ Perak turut menyita 58 kenderaan dan mengeluarkan 383 notis saman.
"Pelbagai kesalahan dikesan dan diambil tindakan seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran serta pamer nombor pendaftaran fancy dan ekstrem," katanya.