Video tular: JKSB nafi Jambatan Kedua di Pulau Pinang retak

Nickyson Nyambar
Oktober 29, 2023 17:51 MYT
Hasil siasatan mendapati struktur JSAHMS dengan jambatan dalam video yang tular tidak sama sekali gus membuktikan ia bukan JSAHMS. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Video yang memaparkan retakan pada struktur jambatan seperti yang tular di media sosial sejak Ahad disahkan bukan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua di Pulau Pinang.
Perkara itu disahkan syarikat pengendali jambatan terbabit, Jambatan Kedua Sdn Bhd dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, JKSB telah menerima rakaman video berdurasi 28 saat yang mendakwa wujud kesan retakan pada struktur pembinaan JSAHMS.
"Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati struktur JSAHMS dengan jambatan dalam video berkenaan adalah tidak sama sekali gus membuktikan ia bukan JSAHMS.
"Sehubungan itu, pihak JKSB meminta kerjasama daripada semua pihak agar tidak menularkan video tersebut bagi mengelakkan timbul kegusaran serta salah faham dalam kalangan orang awam," katanya.
Pengguna juga boleh menghubungi Hotline JKSB di talian 1300-30-2828 untuk mendapatkan maklumat trafik atau ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan. -
#jambatan retak #pulau pinang #video tular #Jambatan Kedua
;