Video tular gaduh: Tiga pemain bola sepak remaja sudah dikenakan tindakan tegas

Sinar Harian
Ogos 12, 2024 13:30 MYT
Tangkap layar video tular memaparkan insiden pergaduhan pemain bola sepak tersebut namun dileraikan oleh pengadil. - Gambar/ Sinar Harian
MERSING: Tiga pemain bola sepak yang terlibat dalam pergaduhan ketika kejohanan bola sepak peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Johor 2024, sudah diambil tindakan tegas oleh pengadil perlawanan.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, insiden yang video tular itu, bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.
"Pada 10 Ogos, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing telah menerima maklumat satu video tular berkaitan kejadian pergaduhan melibatkan pemain dalam kejohanan bola sepak peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Johor tahun 2024.
"Kejohanan berlangsung di sebuah sekolah menengah di daerah ini. Insiden itu berlaku semasa permainan masih lagi berlangsung," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pergaduhan itu berlaku akibat perselisihan faham antara beberapa orang pemain kedua-dua pasukan.
"Perlawanan bola sepak itu tamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang andaian berhubung insiden ini," ujarnya.
Sebelum ini tular video berdurasi 2 minit 23 saat memaparkan insiden pergaduhan pemain bola sepak tersebut namun dileraikan oleh pengadil. - Sinar Harian
#video tular #bola sepak #MSSN #sekolah #pergaduhan
;