Video tular: ECRL diarah segera baiki jalan berlubang
Sinar Harian
Jun 24, 2024 17:08 MYT
Jun 24, 2024 17:08 MYT
KLANG: Pemaju Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diarahkan membaik pulih tampalan pada jalan berlubang di Jalan Hj Abdul Manan (Jalan Negeri), Klang dengan segera.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius video dimuat naik seorang aktivis jalan raya mengenai tampalan ‘pothole’ pecah di laman media sosial.
“Hasil semakan mendapati lokasi jalan raya yang tular itu adalah di Jalan Hj Abdul Manan (Jalan Negeri) yang kini berada di dalam had penyelenggaraan pihak pemaju projek ECRL.
“Kerosakan tampalan yang ditularkan berpunca daripada tampalan secara ‘coldmix’ dilaksanakan oleh pihak pemaju dan takungan air pada bahu jalan tersebut,” katanya pada Isnin.
Sehubungan itu, demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, JKR Malaysia melalui JKR Daerah Klang mengarahkan pihak ECRL membaik pulih tampalan secara ‘hotmix’ di tapak dengan segera.
“JKR Malaysia sentiasa komited dan prihatin terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang awam turut dinasihatkan untuk melaksanakan perkongsian berhemah dan menyemak terlebih dahulu sebelum menyebarkan sebarang berita dan informasi,” katanya. - Sinar Harian