Video tular: Dua rakan ditahan, tunggang motosikal secara melulu, bahaya di Lebuhraya PLUS
Aida Aziz
Julai 24, 2023 22:14 MYT
Julai 24, 2023 22:14 MYT
TAPAH: Dua lelaki masing-masing berusia 19 dan 21 tahun ditahan susulan menunggang motosikal dengan aksi menunduk dan meniarap di kilometer 329 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah mengesan satu video tular berdurasi 1 minit 3 saat berhubung kejadian itu pada jam 8.30 pagi tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku semalam (Ahad) jam 1.47 tengah hari, ketika pengadu iaitu pemilik kamera papan pemuka (dashcam) dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Ipoh.
"IPD Tapah mengesan satu video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook 'Mohamad Rais' menerusi hantaran ke halaman 'Dashcam CCTV Malaysia and Kementerian Netizen Malaysia'.
"Ia menunjukkan beberapa buah motosikal melakukan aksi menunduk dan meniarap atas motosikal.
"Hubungan antara dua suspek itu adalah rakan, seorang bekerja sebagai penyelenggara mesin sawit dan seorang lagi juruteknik," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Sehubungan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat dan polis berjaya mengesan suspek tersebut yang beralamat di Tanjung Tualang, Batu Gajah.
"Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tapah pergi ke alamat berasingan di Tanjung Tualang dan menemui dua suspek lelaki itu.
"Kedua-duanya mengaku menunggang motosikal terbabit semalam sebagaimana rakaman yang tular di media sosial.
"Tangkapan dilakukan sekitar 11 pagi tadi dan kenderaan yang digunakan ketika kejadian turut dirampas," katanya lagi.
Tambahnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tapah bagi tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, Polis Perak akan terus mempertingkatkan operasi bagi membanteras sepenuhnya isu samseng jalanan di samping menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.