Video tular: Disyaki pukul anak, pekerja kantin direman bantu siasatan

Bernama
Februari 11, 2025 14:30 MYT
Seorang pekerja kantin direman enam hari di Mahkamah Majistret Kangar hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki memukul anak perempuannya hingga cedera terhantuk di bucu bangku di Jejawi, Arau. --fotoBERNAMA
KANGAR: Seorang pekerja kantin direman enam hari bagi membantu siasatan kerana disyaki memukul anak perempuannya berusia empat tahun hingga tersungkur dan cedera terhantuk di bucu bangku di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, Arau.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata perintah reman bermula hari ini terhadap wanita berumur 37 tahun itu dibenarkan Majistret Mahkamah Kangar Ana Rozana Mohd Nor.
Ahmad Mohsin berkata wanita itu ditahan di bilik sewanya di Jejawi pada 11.30 malam tadi selepas polis melihat satu hantaran video melalui WhatsApp pada 10 malam tadi memaparkan dia dipercayai memukul bahagian belakang kepala anak perempuannya hingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah di hadapan pasar raya tersebut.
"Kejadian itu berlaku pada 9 Feb (Ahad lepas) dan kanak-kanak ini luka berjahit di bahagian kening sebelah kanan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Wanita pukul anak hingga terhantuk bucu kerusi ditahan
BACA: Kanak-kanak dipukul hingga terkena bucu kerusi telah dapatkan rawatan - Nancy
Beliau berkata suami kepada wanita itu juga pekerja kantin dan mereka mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun.
Semalam, video berdurasi 47 saat yang memaparkan seorang wanita dipercayai memukul belakang kepala anak perempuannya itu tular melalui media sosial.
-- BERNAMA
#reman #wanita pukul anak #terhantuk bucu bangku #pekerja kantin #Arau
;